'Tarikh PRU15, tunggulah...' — Ismail Sabri jamin cadangan bubar Parlimen diputuskan bersama MT Umno


  • Politik
  • Sabtu, 01 Okt 2022

Ismail Sabri berkata, setakat ini tiada sebarang syarat diletakkan untuk mempercepat pilihan raya. — Bernama

CADANGAN Umno untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diputuskan secara bersama di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu, kata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada tarikh tertentu telah ditetapkan dan tidak menolak kemungkinan PRU15 akan diadakan pada tahun ini seperti dinyatakan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan pada Jumaat.

"Tunggu dulu (tarikh bubar). Semalam (Khamis), Datuk Seri Ahmad Maslan dah buat kenyataan, jadi kita pakai kenyataan dia sebagai Setiausaha Agung.

"Sebab kita dah putuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT), jurucakap dia seorang sahaja,” kata Perdana Menteri.

Beliau ditemui pemberita selepas Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pada Sabtu.

Ismail Sabri berkata lagi, isu mempercepatkan PRU15 bukan perkara baharu.

"Kita nak kembalikan kepada rakyat untuk buat penentuan, beri mandat semula kepada rakyat (untuk memilih kerajaan),” katanya.

Ditanya sama ada beliau ada meletakkan sebarang syarat sebelum bersetuju untuk PRU15 dipercepatkan, Ismail Sabri berkata,

"Kita dari segi Umno, ada Top 5, ada Biro Politik, tak ada siapa yang beri sebarang syarat.

"Kalau kita nak buat pilihan raya dan kita ada asas yang kuat untuk kita percepatkan dan setuju secara bersama, kita buatlah. Cuma tarikh tu tunggulah pengumuman,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ismail Sabri, Umno, PRU15, bubar, Parlimen