Tajuddin, Yusof digantung keahlian Umno


  • Politik
  • Sabtu, 01 Okt 2022

Tajuddin memegang kedudukan sebagai Ahli Parlimen Pasir Salak selama tiga penggal sejak 2008.

STATUS keahlian Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam Umno akhirnya jelas selepas parti itu dilaporkan menggantung keahliannya pada Jumaat.

Perkara itu disahkan Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail, iaitu individu yang turut menerima nasib sama seperti Tajuddin.

Memetik laporan sebuah media tempatan, Yusof berkata, beliau tidak tahu mengenai sebab tindakan tersebut dan tempoh penggantungan kerana masih belum menerima surat rasmi dan hanya dimaklumkan secara lisan pada Jumaat.

Sumber berkata, Tajuddin yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Salak dan Yusof disyaki menentang pucuk pimpinan parti tersebut.

Yusof yang dikatakan digantung selama enam tahun dilaporkan berkata, dia dimaklumkan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno mengenai penggantungan keahliannya dan Tajuddin pada Jumaat.

Dato yusof ismail jwb isu viral fitnah di pau2017

Mohd Yusof mengesahkan dimaklumkan secara tidak rasmi, digantung keahlian selama enam tahun. — Muafakat Kedah

"Saya tidak tahu mengapa mereka memutuskan perkara ini. Saya sangat lantang dalam kumpulan ketua bahagian dan saya sangat menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Mungkin ia adalah isyarat kepada Perdana Menteri bahawa sekiranya beliau tidak membubarkan Parlimen, penyokongnya di kalangan ketua bahagian akan menanggung beban.

"Saya tidak akan merayu kerana saya tidak melakukan kesalahan. Saya menganggap diri saya sebagai Umno dulu, kini dan selamanya," kata Yusof.

Tajuddin memegang kedudukan sebagai Ahli Parlimen Pasir Salak selama tiga penggal sejak 2008.

Pada Jun lalu, beliau dipecat daripada Majlis Kerja Tertinggi Umno kerana menggesa Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur kerana menganggap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sudah menjadi liabiliti kepada parti.

Pada Julai lalu, Tajuddin digugurkan sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram