Umno desak PM hadap Agong, bentang tarikh bubar Parlimen


  • Politik
  • Sabtu, 01 Okt 2022

Ismail Sabri digesa menghadap Agong bagi membentangkan tarikh pembubaran Parlimen secepat mungkin. — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno digesa menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi membentangkan beberapa tarikh berpotensi untuk membubarkan Parlimen menjelang tahun ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu merupakan antara keputusan yang dibuat semasa mesyuarat Majlis Tertinggi parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada Jumaat malam.

"Pembubaran Parlimen mesti dibuat secepat mungkin bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan menjelang tahun ini.

"Berdasarkan keputusan ini, Perdana Menteri akan membentangkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan," katanya kepada pemberita yang berkumpul di situ selepas mesyuarat tersebut.

Keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno itu, katanya, adalah konsisten dengan pendirian parti sejak awal untuk mengembalikan mandat kepada rakyat, selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020.

Ahmad berkata, seluruh jentera parti telah diarah untuk memuktamadkan semua persiapan pilihan raya, sambil menambah bahawa hanya dengan turun padang sahaja kerajaan yang stabil boleh dibentuk demi pemulihan ekonomi negara.

Pada masa sama, beliau berkata, Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk memecat Datuk Zaharin Mohd Yasin sebagai ahli parti berkuat kuasa serta-merta, berikutan pelanggaran kod etika di bawah Perkara 20.9 Perlembagaan parti.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut memaklumkan bahawa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Mesyuarat pada Jumaat yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid itu turut dihadiri Ismail Sabri.

Perbincangan turut menyebut bahawa Parlimen berkemungkinan dibubarkan antara 10 dan 14 Oktober, beberapa hari selepas Bajet 2023 dibentangkan pada 7 Oktober ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bahawa, kata sepakat dicapai oleh pemimpin 'Top 5' Umno mengenai tarikh pembubaran Parlimen, seterusnya membuka jalan kepada PRU15.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada tarikh sebenar telah dipersetujui.

"Konsensus dicapai untuk parti bergerak ke hadapan," katanya.

Pemimpin 'Top 5' merujuk kepada Ahmad Zahid, Mohamad dan tiga Naib Presiden – Ismail Sabri, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pada mulanya, Bajet 2023 dijadualkan dibentangkan pada 28 Oktober, namun ia diawalkan pada 7 Oktober.

Penggal Parlimen ke-14 akan tamat pada 6 Julai tahun depan.

Mengikut Perlembagaan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.

Beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu bagaimanapun tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram