Ini 5 sebab kenapa kedai Aceh jadi pilihan rakyat Malaysia


  • Massa
  • Ahad, 02 Okt 2022

Sebahagian daripada kedai Aceh yang dilihat beroperasi di Lembah Klang sesuka hati tanpa pemantaun pihak berkuasa.

TIDAK dinafikan, kedai Aceh yang diusahakan warga asing Indonesia sudah bercambah bukan sahaja di sekitar Lembah Klang, tetapi juga melibatkan beberapa kawasan lain seluruh Malaysia.

Persoalan bagaimana kedai Aceh boleh beroperasi tanpa sebarang dokumen yang sah menimbulkan pertanyaan dalam kalangan masyarakat tempatan.

Satu ketika dahulu kedai Aceh, hanyalah sebuah kedai kecil, tetapi kini sudah bercambah menjadi besar dan ada yang sudah memiliki tiga lot kedai.

Majoriti yang melakukan tinjauan turut sempat bertemu dengan beberapa individu dan mereka menyatakan sebab mengapa kedai Aceh menjadi pilihan mereka sejak sekian lama.

Berikut merupakan lima sebab mengapa kedai Aceh boleh kekal dalam komuniti dan semakin berkembang hari demi hari.

WhatsApp Image 2022-10-02 at 12.06.39 PM

Kedai Aceh menjual barangan basah yang segar.

Barangan basah segar

Tidak hanya menjual barangan kering, kedai Aceh juga menjual barangan basah seperti ikan, sayur dan sebagainya.

Malah, kedai Aceh seakan mempunyai link (bekalan) untuk mendapatkan barangan basah yang segar.

Daripada pergi ke pasar besar, lebih baik orang ramai memilih untuk pergi ke kedai Aceh yang lebih dekat dengan rumah mereka.

Boleh dapat diskaun

Satu kelebihan yang dimiliki oleh kedai Aceh ialah mereka tidak mempunyai sistem jual beli yang ketat melibatkan pembeli.

Sebagai contoh, jika pembeli tidak mempunyai wang kecil terutamanya syiling, peniaga kedai Aceh boleh 'menghalalkan' duit yang tidak cukup itu.

Perkara itu menurut pengguna menjadi satu daripada daya tarikan untuk mereka pergi ke kedai Aceh kerana tidak perlu berhadapan hal remeh seperti tidak mempunyai wang kecil dan sebagainya.

WhatsApp Image 2022-10-02 at 12.08.03 PM

Kedai Aceh mudah diakses berbanding ke pasar raya besar.

Mudah dan cepat

Kebanyakan kedai Aceh mensasarkan kawasan perumahan sebagai ruang untuk mereka beroperasi.

Ini menjadikan komuniti terdekat akan menjadikan kedai Aceh sebagai penyelesaian segera mereka untuk mendapatkan barangan daripada pergi ke pasar raya yang besar.

Malah, ada pengguna motosikal yang tidak turun daripada kenderaan mereka dan sekadar memesan apa barangan yang diinginkan.

Harga munasabah

Seorang pelanggan mengakui ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, harga barangan termasuk di kedai Aceh juga naik.

Namun, perkara itu dianggap normal dan kini, harga yang ditawarkan sudah jauh lebih rendah berbanding ketika PKP.

Walaupun ada barangan yang boleh dikatakan sedikit tinggi berbanding pasar raya besar, tapi bila kedai Aceh yang dekat tetap menjadi pilihan berbanding terpaksa pergi jauh untuk mendapatkan harga murah.

Jual barangan seludup

Perkara ini banyak dinyatakan oleh pengguna kerana kebanyakan kedai Aceh menjual barangan seludup terutamanya rokok.

Perkara ini membuatkan ramai perokok tegar menjadikan kedai Aceh sebagai sasaran untuk mendapatkan rokok seludup.

Selain itu, banyak barangan Indonesia juga dijual di kedai Aceh yang menjadi daya tarikan pelanggan khususnya kaum Melayu untuk ke sana.

Pada masa sama, penguatkuasaan yang longgar juga dilihat antara faktor mengapa kedai Aceh semakin berleluasa ibarat 'cendawan tumbuh selepas hujan'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram