'Rasa puas bongkar misteri rumah terbiar', pengakuan geng paranormal jejak port makhlus halus


  • Massa
  • Ahad, 23 Okt 2022

Banglo Molly merupakan antara rumah misteri yang dijelajah Mohd Rasidi.

APABILA berbicara mengenai paranormal, ramai akan mempunyai pemikiran skeptikal yang rata-ratanya akan berasa golongan pemburu makhlus halus hanya mereka-reka cerita.

Bermula dengan hobi dan minat, Mohd Rasidi Mohd Yassin, mula menceburi dunia paranormal pada 2016 dengan tujuan untuk memecahkan stigma dan pemikiran masyarakat terhadap kewujudan makhlus halus.

Baginya, perkara sebegitu terjadi disebabkan sikap sesetengah individu yang mendakwa mereka adalah paranormal namun hakikatnya hanya membuat kandungan tidak benar demi memperoleh jumlah tontonan tinggi.

“Memang ada yang pertikaikan benda-benda ini, orang tak percaya apa saya buat. Makhluk halus ini memang ada dan wujud. Dalam Al-Quran pun ada beritahu jin dan syaitan memang wujud.

“Saya cuba nak ubah persepsi masyarakat. Kita dari kecil sampai besar sering kali dimomokkan dengan cerita hantu sampai nak ke tandas takut. Perkara ini kena ubah.

“Kepada yang kata begitu mungkin sebelum ini dia melihat dari sudut konten. Kita tak boleh beranggapan apa yang ada dalam filem sama dengan realiti. Benda ini susah untuk menunjukkan dirinya,” katanya kepada Majoriti.

Temu bual bersama Mohd Rasidi.

Bekas juruteknik itu berkata, rumah dan bangunan tinggalan merupakan kawasan kegemarannya untuk melakukan ekspedisi dan semua tempat itu diketahuinya berdasarkan cadangan daripada pengikutnya di laman Facebook.

Bukan sahaja meneroka kawasan di seluruh Malaysia, malah lelaki yang lebih mesra dipanggil sebagai Eddie itu juga banyak melakukan ekspedisi di negara jiran seperti Indonesia.

“Setakat ini saya pergi rumah, bangunan tinggal. Antaranya kolej lama di Jalan Tun Razak, Highlands Tower, Ukay Perdana, Banglo Farah dan Banglo Molly. Semua ada kisah tersendiri.

“Selalu saya sendirian, kadang sahaja ada rakan. Saya memang akan pakai sopan seperti berkasut dan berseluar panjang sebab takut ada binatang. Sebelum masuk baca doa sikit, minta pelindung. Barang-barang seperti torchlight, kamera akan dibawa. Patung pun akan dibawa sebagai medium untuk panggil benda itu.

“Selalu saya akan jelajah sejam atau dua jam. Kebiasaannya selepas ekspedisi, saya akan singgah mana-mana macam kedai dan buat doa penutup sedikit. Memang tidak akan terus baliklah sebab jika terus ke rumah benda itu memang ikut,” kongsinya.

Dalam pada itu, saat berkongsi pengalamannya membuat aktiviti berkenaan di rumah tinggalan, Eddie berasa sedikit kecewa kerana majoritinya masih kelihatan cantik dan boleh digunakan.

Jelasnya, rumah-rumah itu terbiar disebabkan beberapa faktor seperti pemilik meninggal dunia atau pindah, pemilik tidak wasiat kepada waris, ataupun lelongan bank.

“Bila ditinggal begitu, anak-anak tak tahu mereka ada rumah.

"Boleh jadi juga dah jual tapi tak laku. Mungkin keadaan rumah dah lama, nilai hartanah tempat itu tinggi. Jika ada duit boleh beli dan bina semula. Bila tiada duit, terbiar. Itu antara faktor.

“Rumah-rumah kosong begini jika kita fikirkan boleh dijadikan rumah gelandangan atau tempat pelajar tahfiz. Daripada terbiar ditumbuhi semak samun hutan. Berapa banyak dah penguni tak nampak. Lebih baik buat begitu, harga rumah pun bukan murah.

“Ada tempat saya pergi jika dibaik pulih memang ada kebaikan tapi sayang bukan kuasa kita. Bangunan terbengkalai tapi tempat cantik banyak di Malaysia, hartanah yang terbiar dan ditinggalkan kosong. Memang tak terkira,” ujarnya.

Mohd Rasidi turut memberi tips bagaimana untuk memasuki rumah yang sudah lama ditinggalkan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kalau ada rumah-rumah yang kosong dan dah lama tinggal, cara paling baik sebelum masuk adalah bagi salam, azan setiap penjuru, buka semua tingkap dan bersihkan rumah. Kalau boleh cuba duduk semalam dan buat doa selamat,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram