
MASYARAKAT dan pemimpin perniagaan mesti memupuk keamanan dan menangani isu perkauman melalui pendidikan dan sistem keadilan selaras dengan tema Hari Keamanan Antarabangsa tahun ini iaitu "Tamatkan Perkauman, Bina Keamanan".
Pengerusi Majlis Muhibah Perundingan Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata demikian semasa sambutan di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Peace (PCCC) di Persiaran Pantai Jerejak 11, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
“Setiap orang harus menyertai usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mewujudkan dunia yang bebas daripada perkauman dan diskriminasi kaum.
“Dunia di mana cinta, belas kasihan dan empati akan mengatasi kecurigaan dan kebencian.
“Kita boleh berusaha untuk merungkai struktur perkauman yang terpahat dalam fikiran orang ramai, dan menyokong gerakan untuk kesaksamaan dan hak asasi manusia.
"Kita mesti lantang menentang ucapan kebencian, di luar talian dan dalam talian,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, untuk membawa pertumbuhan dan kemakmuran kepada masyarakat, semua orang perlu mengikut langkah orang seperti Mahatma Gandhi, Nelson Mandela, bapa pengasas Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Mother Teresa, dan menggalakkan keamanan dan keharmonian.
“Tanpa keamanan dan keharmonian dalam sesebuah negara, adalah mustahil untuk mencapai kestabilan politik dan ekonomi serta pertumbuhan budaya.
Individu mesti memiliki kedamaian dalam diri mereka dan barulah kebencian, ketamakan, perpecahan, dan prasangka dapat dihapuskan.
“Kita semua mesti sedar bahawa sedikit kebaikan, belas kasihan dan ketabahan diri dapat memulihkan rasa kemanusiaan dalam diri dan menyelesaikan semua isu mengenai keamanan dan keharmonian dalam hidup kita,” tambahnya.
Turut hadir Pengerusi PCCC Alagesan Ayaru, pengerusi penganjur acara, Diyana Lee Abdullah, penasihat PCCC, Datuk M Ramachan-dran dan Datuk Cheah Swee Huat.
Sejak 2020, PCCC dan Persatuan Yayasan Amal Pulau Pinang (PKAPP) telah menganjurkan sambutan Hari Keamanan Antarabangsa yang jatuh pada 21 September.
PCCC, diuruskan oleh PKAPP, dibuka pada Julai 2020 dan menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang mengambil kira pelbagai keperluan dan suasana. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram