Ibarat ada kartel lindungi warga asing di pasar borong — DPMM


  • Massa
  • Khamis, 29 Sep 2022

Masih ramai warga asing yang berniaga di sekeliling pasar borong.

ISU kehadiran warga asing yang berniaga di pasar borong ibarat satu masalah yang tiada penyelesaian sejak dahulu lagi.

Kalau ada operasi untuk mengusir mereka sekalipun, selang beberapa minggu selepas itu akan muncul kumpulan peniaga asing ini.

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syahrin Hamidon berkata, kebanyakan warga asing yang berniaga ini sebenarnya bermula daripada orang tempatan juga.

"Sebenarnya perniagaan yang dijalankan warga asing sama ada di dalam pasar borong mahupun luar adalah milik orang tempatan. Mereka sekadar menjual sahaja.

"Sebab itu kita melihat macam ada satu kartel di belakang pasar borong ini yang dilindungi pihak berkuasa. Perlindungan itu yang membuatkan warga asing ini bebas berniaga.

670007

Ada warga asing yang menjalankan perniagaan mereka di dalam pasar borong.

"Kalau betul nak banteras, tak perlu pakai uniform pun, masuk sahaja ke pasar memang akan nampak. Orang biasa pun nampak dan perkara ini ibarat satu rahsia yang terbuka," katanya.

Syahrin berkata demikian selepas Kejohanan Golf Piala YDP DPMM Putrajaya di Kelab Golf Danau, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor pada Rabu.

Menurut Syahrin, apa yang berlaku sekarang adalah sangat memalukan dan perlu ada tindakan daripada pihak berkuasa.

"Perkara ini kita dah pantau sejak lima tahun lalu. Tapi sehingga kini masih belum selesai. Kita dah pergi dan mereka (warga asing) juga berani berdepan dengan kita.

"Ini menunjukkan seolah ada kuasa yang melindungi mereka. Perkara ini dah membarah sebenarnya," katanya.

Susulan itu katanya, satu tindakan yang lebih menyeluruh perlu dilakukan termasuk terhadap 'kartel' yang berada di belakang warga asing ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram