MEMPAMERKAN prestasi membanggakan dalam kejohanan Piala Raja Thailand di Chiang Mai baru-baru ini membuatkan nama Syihan Hazmi melonjak naik.
Kehebatan penjaga gol Negeri Sembilan itu lantas menarik perhatian kelab Liga Malaysia yang berhasrat mendapatkan khidmat penjaga gol baharu dalam menghadapi saingan musim depan.
Tidak cukup dengan itu, prestasi konsisten Syihan dalam saingan Liga Super juga menarik minat pihak pengurusan apabila dia berjaya mengharungi satu kempen yang cemerlang.
Dalam 18 perlawanan, Syihan berjaya merekodkan enam 'clean sheet' dengan persembahan mengujakan di mana pasukan kendalian K. Devan itu sedang menduduki tangga ketiga liga.
Antara pasukan yang mula bertanya-tanya untuk memikatnya adalah pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dan Sang Gergasi Merah, Selangor FC.
Namun, timbul khabar angin dalam kalangan penyokong dengan mengaitkan perpindahan Syihan ke negara jiran di utara tanah air.
Tangkap layar perkongsian Facebook Pontian Club FC.
Menerusi perkongsian di Facebook Pontian Club FC, Syihan atau nama lengkapnya Ahmad Syihan Hazmi, 26, dikhabarkan bersedia untuk berhijrah ke mana-mana kelab di Thailand.
Walaupun mahu fokus kepada skuad Jang, namun Syihan bersedia untuk mencabar diri dan mempertimbangkan tawaran kelab luar negara.
Biarpun sudah menyuarakan kesediaannya untuk ‘terbang’ ke negara orang, namun melihat ke ruangan komen penyokong tempatan sepertinya tidak merestui niatnya itu.
Rata-rata berpendapat agar Syihan tetap kekal dengan skuad tempatan berbanding memberikan perkhidmatannya di bumi orang.
“Baru berjaya sedikit terus hendak pergi ke luar negara. Lepas gagal balik semula Malaysia,” kata Mohd Hakim.
“Baik pergi ke Johor saja, dekat pun dekat. Jauh sampai Thailand yang setanding dengan Johor Darul Takzim. Lain la jika pergi ke Jepun atau Korea,” kata Reha Kadriye. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram