Air pasang besar, 3 kawasan Klang di paras berjaga-jaga


  • 112
  • Rabu, 28 Sep 2022

Beberapa rumah dinaiki air selepas air pasang besar ekoran hujan lebat di Klang, Selangor.

KETINGGIAN air di Bandar Klang dan Tugu Keris di Klang, Selangor berada dalam paras bahaya setakat pukul 7.15 pagi manakala Kampung Rantau Panjang pada tahap berjaga-jaga.

Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang dalam satu kenyataan berkata, namun pada pukul 9 pagi, ketiga-tiga kawasan itu berada dalam tahap berjaga-jaga.

Susulan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang membuka dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini bagi menempatkan mangsa banjir berikutan fenomena air pasang besar dan hujan lebat pada Rabu.

"Mangsa banjir dari Kampung Delek Baru dipindahkan ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Delek.

"mangsa banjir dari Kampung Sungai Sireh Tambahan pula dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sireh," katanya.

Jelasnya, mangsa yang memerlukan bantuan boleh hubungi wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau terus ke PPS berkenaan.

Tambahnya, orang ramai diminta melaporkan sebarang kejadian banjir kepada talian perhubungan bencana Daerah Klang yang disediakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram