LELAKI yang tular di media sosial kerana marah seorang rider penghantar makanan membuat laporan polis selepas menerima banyak ugutan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhruddin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.45 petang pada Jumaat lalu.
"Di dalam video tersebut, tular wajah lelaki itu sedang berselisih faham dengan seorang penghantar (makanan).
"Akibat daripada video yang tular, pengadu telah menerima pelbagai mesej berbaur ugutan daripada individu yang tidak dikenali di media sosial," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, video perselisihan faham antara lelaki dan penghantar makanan itu tular di media sosial dan mendapat kecaman daripada warganet.
Ramai yang tidak berpuas hati dengan sikap lelaki tersebut yang memarahi rider tersebut.
Menurut Fakhruddin, lelaki itu kemudian membuat satu laporan polis kira-kira pukul 11.10 pagi pada Isnin.
Jelasnya, kes telah disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Tambahnya, sesiapa yang mempunyai makumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Sangaran Rajaram (012-5390380). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram