Polis tahan bapa panas baran pukul anak kembar


  • 112
  • Selasa, 27 Sep 2022

Hasil siasatan mendapati bapa kepada lima orang anak itu ialah seorang yang panas baran dan sering memukul pasangan kembar itu sebelum ini. — Gambar Hiasan

POLIS menahan seorang lelaki kerana disyaki mendera anak kembar lelakinya berusia 11 tahun dengan menampar serta menumbuk pada bahagian muka dan badan.

Ketua Polis Klang Selatan Asisten Komisioner Polis, Cha Hoong Fong berkata, pemandu lori yang berusia 44 tahun itu ditahan pukul 7.30 malam pada Isnin di sekitar kawasan rumahnya di Taman Sentosa, Klang, Selangor oleh sepasukan polis dari cawangan kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati bapa kepada lima orang anak itu ialah seorang yang panas baran dan sering memukul pasangan kembar itu sebelum ini.

Katanya terdapat kesan kecederaan lama ditemukan pada badan kedua-dua mangsa akibat dipukul oleh suspek.

"Suspek juga mempunyai tiga rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah," katanya dalam kenyataan.

Hoong Fong berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi kesalahan penderaan dan suspek kini direman empat hari bermula Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram