'B balik makan, sayang dah masak', mesej tak dibalas sebelum isteri rider dikejutkan khabar duka


  • Massa
  • Selasa, 27 Sep 2022

Balu dan ibu tidak menyangka sarapan bersama pada pagi hari kejadian menjadi detik terakhir bersama Allahyarham Muhaimin.

SIAPA sangka tanggal 23 September 2022 mencatat sejarah hitam dalam hidup Nur Izwana Othman kerana tidak pernah menduga Muhaimin Mohd Said, 34, yang dinikahi 9 September lalu pergi untuk selama-lamanya.

Nur Izwana, 26, berkata, pada hari kejadian Allahyarham berbual seperti biasa ketika bersarapan bersamanya dan ibu mentua, Zailan Soid yang berusia 73 tahun.

Bagaimanapun ketika dia dan ibu mentua di dapur, Allahyarham yang sedang bersiap untuk keluar bekerja sebagai penghantar makanan meninggalkan rumah tanpa berkata apa-apa kepadanya.

"Selalunya dia akan beritahu dan tidak pernah pergi begitu sahaja kerana kami akan bersalaman terlebih dahulu.

"Anehnya pagi itu arwah ingin bersalaman di dalam bilik. Katanya malu kerana orang melihat. Semasa kami bersalam dia cium tangan saya.

"Saya tidak melihat perkara itu ganjil dan teruskan rutin harian seperti biasa. Saya menyediakan sarapan dan berbual dengan mak sebelum menyedari dia sudah pergi bekerja," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, sebelum kemalangan berlaku dia sempat menghantar mesej meminta Allahyarham pulang ke rumah untuk makan tengah hari.

majoriti2022 (3)

Sewaktu kejadian kemalangan itu berlaku, Nur Izwana dan Muhaimin genap dua minggu bergelar suami isteri setelah berkahwin pada 9 September 2022 selepas enam bulan berkenalan.

Sabar menanti kepulangan suami, Nur Izwana bagaimanapun menerima khabar duka apabila dia menerima panggilan memaklumkan Muhaimin terlibat dalam kemalangan.

"Tengah hari itu saya mesej dia, "b balik makan tengah hari, sayang dah masak".

"Kemudian saya tidak dapat ingat siapa yang call (hubungi). Sejurus diberitahu saya terus menghubungi abang ipar (Tajul Arifien Mohd Said) untuk memaklumkan berita itu.

"Sejujurnya sehingga ke hari ini saya masih terkejut dan tidak sangka arwah sudah tiada kerana segala-galanya berada dalam keadaan baik-baik sahaja sebelum ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Nur Izwana menceritakan perubahan sikap Allahyarham yang secara tiba-tiba makan jeruk mangga di dalam bilik sehari sebelum kemalangan.

"Apabila saya bertanya mengapa dia berbuat begitu, katanya saja-saja sebab teringin sangat. Saya pun ada bertanya kepada mak (ibu mentua) sama ada memang begitu sikapnya, tetapi mak cakap dia tidak pernah bawa makanan dalam bilik," luahnya.

Sementara itu, ibu mangsa, Zailan terkilan dengan pemergian anak bongsu daripada enam adik beradik itu yang berlaku dalam sekelip mata.

Katanya, arwah memiliki sikap yang suka menolong termasuk membantu menguruskan dirinya.

"Setiap malam saya akan memakai stokin sebelum tidur. Sekiranya saya tidak mampu untuk buat sendiri, Amin (nama panggilan Muhaimin) akan bantu.

"Memandangkan saya sudah berusia dan tidak lagi mempunyai penglihatan jelas, Amin akan tolong potong kuku kaki dan tangan.

"Dia tidak pernah bantah dan menolak untuk melakukannya. Sebaliknya dia akan bertanya jika kuku sudah panjang dia akan tolong potongkan," terang Zailan.

Dalam pada itu, Zailan juga mengatakan Allahyarham sering membantu memotong rumput dan membersihkan sekitar kawasan kejiranan termasuk membantu pelajar Sekolah Tahfiz Muqwa Lil Banat yang terletak kira-kira 200 meter dari kediaman mereka.

"Arwah akan bersihkan kawasan rumah dan membantu memotong rumput. Dia juga akan potong rumput di rumah jiran. Ketika ingin membuang sampah, dia akan bertanya kepada pelajar tahfiz itu jika ada sampah yang ingin dibuang dan dia akan bantu membuangnya ke tempat pembuangan sampah.

"Sekiranya ada kawan-kawan yang ingin meminjam wang, dia akan cuba tolong biarpun dia sendiri tidak cukup duit. Arwah selalu cakap tidak mengapa bantu orang susah sebab duit boleh cari. Dia juga tidak akan meminta untuk membayar semula duit yang dipinjam," ujarnya.

1750159

Kemalangan melibatkan lima kenderaan iaitu dua kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-trail, sebuah Proton Wira dan dua motosikal.

Biarpun reda dengan pemergiannya anaknya, Zailan bagaimanapun mengharapkan agar pesalah kesalahan kecuaian ketika memandu sehingga mengakibatkan kematian harus menerima hukuman berat.

Baginya perkara ini melibatkan nyawa yang hilang dalam sekelip mata.

"Saya tahu kematian itu pasti, tetapi jangan kerana kecuaian diri sendiri menyebabkan orang lain kehilangan nyawa.

"Kalau anak saya sakit terlantar, saya boleh terima tetapi ini hilang dalam sekelip mata. Harap pihak berkuasa mengenakan hukuman setimpal kepada pesalah," katanya.

Untuk rekod, kemalangan tersebut membabitkan lima kenderaan iaitu dua kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-trail, sebuah Proton Wira dan dua motosikal.

Kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Haji Sirat sekitar pukul 2 petang itu mengorbankan Muhaimin dan menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal cedera parah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram