SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dalam kejadian kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Kesang Garing, Jasin, Melaka pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Polis Mispani Hamdan berkata, kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, melibatkan kereta Produa Alza yang dinaiki empat beranak dalam perjalanan dari Kesang menghala ke Durian Tunggal, manakala pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Durian Tunggal ke Jasin.
"Siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun, memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta yang dipandu bapa budak lelaki terbabit.
"Kejadian itu menyebabkan mangsa, Afif Daiyan Shamsuri yang berada di tempat duduk belakang mengalami kecederaan parah di kepala, meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut Mispani berkata, pemandu dan anak perempuannya, Auni Dalili, 11, turut berada di tempat duduk belakang, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Katanya isteri mangsa yang berada di tempat penumpang hadapan, mengalami kecederaan ringan manakala pemandu pacuan empat roda itu mengalami kecederaan di dada.
"Mayat kanak-kanak lelaki itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat, manakala kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram