Rempuh belakang kontena, 2 maut dalam Myvi di Ampang


  • 112
  • Ahad, 25 Sep 2022

Keadaan kereta dinaiki mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Wawasan di Bandar Baru Ampang, Kuala Lumpur pada Ahad. — Sinar Harian

SEBUAH kereta perodua Myvi yang dinaiki seorang lelaki dan seorang wanita dipercayai merempuh belakang sebuah lori sebelum menyebabkan mereka maut di Jalan Wawasan, Bandar Baru Ampang, Kuala Lumpur pada Ahad.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.04 pagi.

"Seramai 10 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Norazam berkata, kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki dua mangsa melanggar belakang sebuah lori kontena yang parkir di bahu jalan.

"Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit di ruang hadapan kereta," katanya.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa yang mengalami cedera parah dikeluarkan oleh anggota bomba pada pukul 3.50 pagi menggunakan peralatan khas.

"Kedua-dua mangsa berusia 33 dan 42 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram