Rempuh punca rider p-hailing maut, Selangor mahu pemandu SUV disiasat ikut Kanun Keseksaan


  • Massa
  • Isnin, 26 Sep 2022

Mohd Khairuddin memberikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Muhaimin Mohd Sain@ Mohd Said yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya pada Jumaat.

EXCO Generasi Muda, Sukan & Modal Insan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman mohon pihak berkuasa menyiasat kes kemalangan penghantar makanan di persimpangan lampu isyarat Jalan Haji Sirat, Klang, Selangor pada Jumaat lalu mengikut Kanun Keseksaan.

Katanya, buat masa sekarang siasatan dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 Pindaan 2020.

"Kita meminta agar nasib penunggang p-hailing ini terbela dan disebabkan itu pertuduhan juga perlu dibuat mengikut Kanun Keseksaan kerana melibatkan kejadian serius berpunca daripada kecuaian.

"Disebabkan itu kerajaan Selangor di bawah pimpinan Menter Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) sering memberi penekanan agar menjaga keselamatan dalam kalangan penghantar makanan p-hailing," katanya ketika ditemui ketika melawat keluarga Allahyarham Muhaimin Mohd Sain@ Mohd Said di Jalan Haji Musran, Rantau Panjang, Klang, Selangor pada Isnin.

majoriti2022

Mohd Khairuddin memberikan kata-kata sokongan kepada keluarga Allahyarham Muhaimin iaitu ibunya Zailan Soid dan balu, Nur Izwana Othman.

Pada masa sama Mohd Khairuddin turut mengharapkan agar hukuman setimpal patut dikenakan kepada pesalah agar kejadian sama tidak berulang.

"Kejadian seperti ini tidak boleh berulang dan tindakan tegas mesti diambil kerana kecuaian pemandu.

"Kes ini masih disiasat polis dan kerajaan negeri ingin lihat sejauh mana kes ini boleh dibawa oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sama ada Akta Pengangkutan Jalan atau Kanun Keseksaan," jelasnya.

Dalam lawatan itu Mohd Khairuddin turut memberikan sumbangan kepada balu arwah, Nur Izwana Othman dan keluarga.

Untuk rekod, mangsa berusia 34 tahun maut selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan polis mengesahkan penahanan dua pemandu yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya telah menjalankan ujian saringan air kencing dan mendapati kedua-dua lelaki berusia 20 dan 24 tahun negatif dadah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram