Padah ugut culik bekas kekasih, polis tahan suspek di restoran


  • 112
  • Ahad, 25 Sep 2022

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak

PADAH membuat ugutan mahu menculik bekas kekasihnya dan mengugut bapa saudara wanita terbabit, seorang lelaki ditahan polis.

Suspek ditahan di sebuah restoran yang terletak di Taman Larkin Perdana, Johor Bahru pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 22 tahun itu melakukan ugutan ketika menghubungi bapa saudara teman wanitanya berumur 35 tahun di Pangsapuri Lembah Jaya Selatan pada 15 September lalu.

"Suspek dipercayai tidak berpuas hati kerana bapa saudara bekas kekasihnya mencampuri hubungan mereka hingga dia gagal memujuk wanita itu untuk kembali bersamanya.

"Pasangan tersebut telah berpisah sejak Disember 2020, namun suspek sering mengganggu dan mengugut wanita itu serta bapa saudaranya," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Mohamad Farouk berkata, bapa saudara wanita itu bimbang akan keselamatan dirinya telah membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.

"Siasatan awal polis mendapati punca kejadian disebabkan perselisihan faham antara suspek dengan bekas teman wanitanya itu," jelas Mohamad Farouk. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram