Nyaris jadi mangsa rompakan bersenjata, mujur alas kaki penyelamat


  • Tular
  • Khamis, 11 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan kejadian samun yang berlaku di Taman Kemiri, Sungai Siput.

SIAPA sangka, alas kaki yang diletakkan di luar pintu rumah boleh jadi penyelamat seorang lelaki daripada menjadi mangsa samun.

Melalui satu video tular yang dimuat naik di laman media TikTok kakyong_legacy menunjukkan seorang perompak hampir tergelincir ketika memijak alas kaki itu.

"Kejadian berlaku di kawasan Taman Kemiri, Sungai Siput, Perak. Tolong jaga keselamatan rumah dan diri," tulisnya.

Video tersebut menunjukkan seorang perompak memakai jaket hitam dan helmet muka penuh cuba meluru masuk ke dalam sebuah rumah yang pintunya tidak ditutup.

Perompak itu juga dilihat membawa senjata tajam seperti parang.

Tindakan perompak yang berlari ke arah pintu tersebut gagal apabila dia hampir terjatuh setelah memijak alas kaki yang diletakkan di luar pintu.

Berdepan situasi cemas, lelaki yang dipercayai tuan rumah itu kemudiannya dengan pantas menutup pintu kediamannya.

Perompak itu terus meninggalkan tempat kejadian setelah percubaan untuk memasuki rumah itu gagal.

Setakat ini video itu telah memperoleh 112,000 tontonan dan mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya.

"ALLAHUAKHBAR nasib baik sempat tutup dan kerana alas kaki itu juga perompak tidak dapat masuk.

"Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan ALLAH, amin," kata fatimah.

"Nasib baik tergelincir tidak sempat masuk. Selamat," tulis Burgerkuboor Padu.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram