Kos meningkat jika laksana PRU, PRN berasingan


  • Politik
  • Ahad, 25 Sep 2022

Datuk Seri Mustapa Mohamed mengulas tentang tarikh pilihan raya umum.

PERBELANJAAN negara dalam urusan pilihan raya akan meningkat dengan ketara sekiranya pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negara (PRN) diadakan pada tarikh berasingan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, sekiranya berlaku, ia juga dilihat boleh mempengaruhi keputusan orang ramai khususnya pengundi luar, sama ada sanggup atau tidak untuk ‘balik mengundi’ dua kali, bagi menjalankan tanggungjawab mereka.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata, sekiranya berlaku PRU dan PRN pada tarikh berasingan, tumpuan pastinya dilihat akan terarah kepada aspek politik berbanding pemulihan ekonomi.

"Sudah tentu ia akan menyusahkan rakyat, mengganggu pemulihan ekonomi dan kestabilan politik kerana semua pihak mahu berkempen, memasang poster dan berceramah. (Sedangkan) Perkara penting ketika ini ialah kita mahu pulihkan ekonomi selepas memerangi pandemik Covid-19 sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM, STPM dan STAM Sekolah dalam Parlimen Jeli di Pejabat Khidmat Dato Pa, Bukit Nangka, Jeli, Kelantan pada Ahad.

Awal minggu ini beberapa media melaporkan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Dewan Undangan Negeri di ketiga-tiga negeri ditadbir parti itu yakni Kelantan, Terengganu dan Kedah hanya akan dibubarkan sekiranya PRU ke-15 (PRU15) diadakan tahun hadapan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram