'Dia aset negara', Umno Kedah pelawa KJ jadi calon Parlimen Alor Setar


  • Politik
  • Sabtu, 24 Sep 2022

Khairy dipelawa bertanding di Alor Setar.

UMNO Bahagian Alor Setar mengalu-alukan Khairy Jamaluddin, untuk bertanding di kerusi Parlimen itu, sekiranya Ahli Parlimen Rembau terbabit, tiada tempat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Datuk Mohd Yusof Ismail, berkata, beliau menyifatkan Menteri Kesihatan itu adalah aset negara yang boleh memberi kelebihan untuk Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen Alor Setar daripada Pakatan Harapan (PH).

"Saya ada dengar juga Khairy hendak bertanding di Alor Setar dan saya mengalu-alukan, yang penting Umno yang bertanding berbanding kita letakkan calon daripada MCA, siapa calon itu saya sentiasa terbuka sebab saya orang berniaga, politik nombor dua, berniaga nombor satu.

"Kalau ada calon contohnya macam Khairy, itu memang kelebihan kita sebab dia adalah aset negara, kalau dia bersetuju untuk datang bertanding di Parlimen Alor Setar, 'kita memang alu-alukan, jadi kita pun boleh bernaung di bawah payung yang besar," katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditemui selepas Program Ramah Mesra dan Jualan Harga Patut peringkat Parlimen Alor Setar di Shahab Perdana, Kedah pada Sabtu.

Ditanya sama ada beliau pernah mengadakan perbincangan bersama Khairy berhubung tawaran itu, Mohd Yusof mengakui sebelum ini pernah mempelawa Khairy.

Ini kerana, katanya, negara dan rakyat memerlukan pemimpin seperti Khairy di masa depan.

"Ya, saya ada berhubung dengan Khairy, kita berbincang sedikit sebanyak, saya kata, 'bos' jika fikir sesuai, saya setuju sahaja, saya pun memang menjemput dia, sebab dia pun dengan Kedah bukanlah lari banyak, mak dia pun orang sini, orang Alor Setar, jadi dia kalau tak ada tempat lain, boleh bertanding di sini.

"Tetapi mungkin dia tak datang, mungkin dia selesa di Negeri Sembilan. Ramai juga bagi tawaran sebab dia aset negara dan kita perlukan dia di masa depan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengakui risau memikirkan kelangsungan kerjaya politiknya kerana belum mempunyai kawasan untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Menteri Kesihatan itu berkata, kebimbangannya berhubung perkara itu melangkaui kerisauan Kabinet sama ada mengadakan PRU-15 pada tahun ini atau sebaliknya.

Sebelum ini, Khairy secara berseloroh mengatakan akan bertanding di Kedah pada PRU-15 kelak.

Tambahnya, adalah tidak mustahil untuk perkara itu berlaku kerana ibunya berasal dari Kedah.

Untuk rekod, Umno Bahagian Alor Setar sebelum ini turut meminta agar kerusi Parlimen itu diberikan kepada parti berkenaan berbanding MCA dalam misi merebut kembali kawasan terbabit yang memiliki undi majoriti orang Melayu. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram