Jangan cepat melatah dengan 'cabaran' Tun M


  • Massa
  • Ahad, 25 Sep 2022

Tun M memberitahu kesediaannya untuk memegang jawatan sebagai Perdana Menteri untuk kali ketiga.

TAWARAN Tun Dr Mahathir Mohamad atau Tun M yang bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga dianggap sebagai satu kenyataan provokasi, kata penganalisis politik.

Pensyarah Kanan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff, pemimpin politik lain harus mengambil iktibar dan mencabar diri demi membuktikan kemampuan masing-masing.

Katanya, jangan terlalu cepat melatah mahupun membuat andaian apa yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu kerana tindakannya bersifat ‘mencabar’.

“Mengatakan Tun M menjadi Perdana Menteri untuk kali ketiga masih terlalu awal untuk dibuat andaian kerana kenyataan beliau itu jika mendapat desakan atau tiada pemimpin yang layak.

“Pemimpin lain tidak perlu menganggap perkara itu sebagai 'provokasi' kerana jika diri sendiri benar-benar layak untuk menjadi Perdana Menteri, sila buktikan kewibawaan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Majoriti pada Ahad.

Dalam pada itu, Dr Syed Agil turut berpendapat sudah tiba masanya untuk Tun M tidak lagi terlibat dengan menggalas tanggungjawab dalam kerajaan.

1302513

Barisan pemimpin politik harus pamerkan kewibaaan mereka jika ingin memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya beliau boleh menjadi pengkritik mahupun penasihat politik atau pentadbiran negara.

“Pada usia yang hampir mencecah 100 tahun, sudah tiba masanya beliau mengalihkan fokus dan bukan lagi untuk meneraju negara.

“Sebaiknya biarlah tanggungjawab tersebut diberikan kepada individu yang berkemampuan daripada segi fizikal, mental sekali gus meneruskan tradisi dan warisan negara ke arah proresif serta mampan,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai wakil kepimpinan negara dalam kalangan pemimpin belia, Dr Syed Agil tidak menolak bahawa Malaysia ketandusan golongan muda di lapangan politik.

Tidak dinafikan sebilangannya sudah menyertai politik pada usia muda, namun perlu mengambil masa terlalu lama untuk meletakkan diri ke peringkat nasional.

“Saya tidak fikir benda ini akan menjadi kenyataan jika sikap birokrasi dalam parti masih menebal sehinggakan tidak memberi peluang kepada pelapis muda untuk mentadbir negara.

“Seharusnya pemimpin muda ini diberi peluang agar dapat mempamerkan aspirasi mereka terhadap politik. Mungkin ada antara mereka yang bertindak mengikut emosi atau tersilap langkah, tetapi itu semua satu proses pembelajaran.

“Pemimpin dalam kalangan ‘orang lama’ juga pernah muda dahulu. Jadi masing-masing tahu bagaimana pergerakan politik dan kita juga harus bersedia untuk menerima pembaharuan terhadap anjakan paradiqma politik negara,” terangnya.

Beliau turut berpendapat bahawa Malaysia harus melihat pemimpin dari negara lain seperti New Zealand yang letakkan Jacinda Ardern sebagai Perdana Menteri ketika berusia 36 tahun dan Finland, Sanna Marin pada umur 32 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram