KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia mengharapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mewujudkan pelan jangka panjang bagi membolehkan filem tempatan menyertai festival filem di luar negara.
Menurut Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, tindakan itu diharapkan menjadi tanda sokongan dan dukungan kepada anak seni agar dapat menghasilkan karya setanding produk antarabangsa.
Katanya, selain dapat memperkenalkan Malaysia di mata dunia, perkara itu juga dapat menarik minat penerbit atau tenaga mahir luar untuk mengadakan penggambaran di tanah air.
"Penyertaan di festival filem negara luar dapat membuka peluang pemasaran yang lebih luas. Finas diminta untuk membuat perancangan jangka panjang kerana di luar memiliki banyak festival filem.
"Mungkin kita hanya pernah dengar Festival Filem Cannes (Perancis), tetapi sebenarnya ada banyak lagi di negara luar seperti Amerika Syarikat, negara Eropah, Korea Selatan, Itali dan Uzbekistan turut mempunyai festival filem," katanya dalam ucapan Perasmian Runut Bunyi Filem Seratus di Putrajaya pada Isnin.
Annuar Musa mengharapkan agar Festival Filem Malaysia ke-32 dapat membuka peluang pekerjaan kepada penggiat seni tempatan.
Dalam pada itu, Annuar turut mengulas tentang usaha Finas untuk mengadakan Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32).
Katanya, perbincangan sudah diadakan dengan kerajaan negeri Melaka dan diharapkan acara itu dapat memberi impak kepada industri.
"Sekarang sudah ada 17 filem yang menyertai termasuk filem tempatan. Saya mengharapkan penganjuran majlis ini akan membuka peluang kepada pelakon, pengarah, penulis skrip mahupun tenaga kerja untuk saling bertukar pendapat dan pengetahuan.
"Pasaran filem kita ini kecil dan disebabkan itu kita perlu untuk berjumpa dengan orang dari negara luar agar tidak terlalu 'lama' berada di takuk lama," jelasnya.
FFM32 dijadualkan berlangsung pada Disember depan dengan mempertandingkan 22 kategori.
Untuk rekod, dianggarkan sekitar 10 negara akan menghantar pencalonan antaranya India, Singapura, Indonesia dan Thailand. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram