Hilang sejak 2017, ibu percaya Mohamad Aiman masih hidup


  • 112
  • Selasa, 20 Sep 2022

Wan Shahrizal (kanan) masih berharap kepulangan anaknya yang hilang sejak 2017. — Astro Awani

MESKIPUN kehilangan seorang lelaki warga tempatan yang dibawa lari ke Thailand oleh sekumpulan lelaki adalah pada Julai 2017, namun polis Kelantan sehingga kini tidak pernah menutup kes tersebut.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis sedang berusaha mencari bukti melalui beberapa tangkapan atas kehilangan Mohamad Aiman Zafri.

"Bagaimanapun, masih ada petunjuk dan bukti baharu yang dapat membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan media pada Selasa.

Kisah penculikan Mohamad Aiman, 29, pernah mendapat liputan di media pada 2017.

Mohamad Aiman dilaporkan dibawa lari oleh kumpulan penjenayah kira-kira pukul 11.30 malam di Jalan Taman Maju di Kota Bharu, Kelantan pada 5 Julai 2017 ketika bersama isterinya pulang dari bekerja.

Seminggu selepas itu, kumpulan terbabit meminta wang tebusan berjumlah RM50,000, namun keluarganya hanya dapat membayar RM22,000.

Ibu lelaki itu, Wan Shahrizal Wan Zulkifli, 55, pada Isnin masih berharap kepulangan anaknya dan percaya, Mohd Aiman masih hidup.

Justeru, Muhamad Zaki memohon keluarga dan orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya berhubung dengan polis di hotline Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan di talian 09-7455622 atau boleh salurkan maklumat di balai polis berhampiran.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan bersendirian kerana boleh mengundang bahaya selain mengganggu perkembangan siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram