DALAM sekelip mata sahaja, seorang bayi cuba diculik seorang wanita ketika ibu bapa bayi berkenaan sedang leka memilih barang di sebuah Pasar Raya Cash & Carry di Gqeberha, Afrika Selatan baru-baru ini.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menyaksikan wanita bertubuh besar berusia dalam lingkungan lima puluhan itu dilihat berjalan-jalan di lorong bahagian peti sejuk sebelum mengambil bayi yang sedang duduk di dalam troli pasar raya.
Ibu bapa bayi berkenaan kemudiannya menyedari perkara tersebut ketika meletakkan beberapa makanan sejuk beku di dalam troli mereka lalu menjerit meminta tolong.
Bagaimanapun, tindakan pantas si ayah memecut ke pintu depan kedai dan memberitahu pengawal keselamatan tentang situasi tersebut telah membantutkan hasrat wanita berkenaan.
Ini kerana anggota keselamatan segera mengunci pintu pasar raya tersebut bagi menghalang wanita itu berjaya keluar.
Pada mulanya ketika disoal siasat pengawal keselamatan, bayi itu tidak bersama suspek.
Namun tidak lama selepas itu, seorang wanita berbeza tampil memulangkan bayi tersebut dan menjelaskan bahawa dia dan rakannya sebenarnya sedang bergurau.
Ibu bapa yang masih dalam terkejut itu mengambil semula bayi mereka sebelum kakitangan keselamatan segera menghubungi polis.
Kedua-dua wanita itu ditahan kerana disyaki cubaan menculik dan dibawa ke balai polis dan mereka masih menggunakan alasan 'bergurau' ketika membela diri. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram