WhatsApp tular budak kena culik di pusat tuisyen JB, rupanya selamat di rumah bersama ayah


  • 112
  • Sabtu, 10 Sep 2022

Kejadian penculikan membabitkan seorang kanak-kanak lelaki di sebuah pusat tuisyen tular menerusi aplikasi WhatsApp pada Sabtu. — Gambar Hiasan

KETUA Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menafikan berlaku kejadian penculikan membabitkan seorang kanak-kanak lelaki di sebuah pusat tuisyen seperti yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, pada Sabtu.

Kamarul menjelaskan, hasil semakan mendapati pesanan mesej yang mendakwa kejadian tersebut berlaku adalah palsu dan tiada sebarang laporan dibuat mengenai insiden itu.

Jelas beliau lagi, hasil siasatan lanjut mendapati kanak-kanak berusia sembilan tahun itu berada di rumah bersama bapanya.

"Hal ini (perbuatan penyebaran mesej) dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai.

"Perbuatan menyebar dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kamarul turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan menyebarkan dakwaan sedemikian yang diperoleh daripada sumber tidak sahih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram