[VIDEO] Cubaan wanita warga asing culik budak di Genting Highlands, keluarga belum buat repot polis


  • 112
  • Selasa, 20 Sep 2022

Tangkap layar dua wanita warga asing yang didakwa cuba menculik kanak-kanak di Genting Highlands.

PIHAK polis memulakan siasatan dalam kes video tular yang mendakwa seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik oleh seorang perempuan warganegara asing di Genting Highlands, Bentong, Pahang pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya akan memulakan siasatan selepas menerima laporan pihak keselamatan Genting Highlands berkenaan sebuah video tular berdurasi satu minit 20 saat terbabit.

Menurut Zaiham, video tersebut memaparkan insiden bahawa seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik oleh seorang perempuan warganegara asing di Genting Highlands.

"Pihak keselamatan Genting Highlands membuat laporan polis pada 19 September 2022 lebih kurang pukul 8.16 malam berhubung video yang tular.

“Setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan daripada pihak terlibat (keluarga mangsa)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambahnya lagi, polis masih mengumpul maklumat mengenai dakwaan kejadian itu sebelum sebarang keputusan bagi membuka kertas siasatan lanjut.

“Polis memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” ujarnya lagi.

Terdahulu, tular sebuah video dalam media sosial seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik di Genting Highlands pada Isnin.

Berdasarkan video yang dikongsikan laman aplikasi TikTok, @alfitry_azmi52 memaklumkan bahawa seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik oleh seorang warganegara asing.

Dakwaan mengenai kejadian itu menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat terhadap keselamatan anak-anak mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram