Wanita kena cekup, disyaki dalang kes bunuh suami di Klang


  • 112
  • Isnin, 19 Sep 2022

Kejadian pembunuhan berlaku pada Khamis di sebuah rumah di Klang, Selangor.

SEORANG wanita berusia 37 tahun telah ditahan kerana didakwa merancang dan mengatur pembunuhan suaminya yang berusia 41 tahun di Klang, Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek juga mendedahkan penglibatan suspek lain dalam kes tersebut selepas ditahan.

"Kita kemudian telah menahan empat lelaki berusia 20 hingga 36 tahun. Semakan mendapati kesemua mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah.

"Mahkamah Majistret Klang telah membenarkan perintah reman lima hari untuk kesemua suspek," katanya.

Menurut Arjunaidi, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian kira-kira pukul 2.14 pagi pada Khamis melibatkan pergaduhan beberapa orang lelaki.

Jelasnya, menerusi maklumat awal yang diperoleh, seorang lelaki berada dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dalam sebuah di Taman Aneka Baru, Sungai Udang, Klang, Selangor.

Lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan awal adalah berdasarkan kenyataan isteri mendapati, terdapat dua lelaki bersenjatakan pisau berpakaian hitam dan memakai topeng telah memasuki pintu depan serta menikam suaminya hingga mati.

"Bedah siasat mendapati mangsa telah ditikam sebanyak 14 kali.

"Suspek juga dikatakan menggeledah rumah dan mengambil beg tangan berjenama, barang kemas serta wang tunai RM40,000 sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta mewah.

"Jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM100,000," katanya.

Jelasnya, pihaknya kemudian menahan isteri mangsa kira-kira pukul 10 malam hari sama selepas siasatan dilakukan di lokasi kejadian.

Ujarnya, siasatan mendapati isteri mangsa terlibat dalam kes pembunuhan yang bermotifkan dendam dan kepentingan peribadi.

Dalam pada itu, Arjunaidi menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungu pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Saiful Azni di talian 03-33762222 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram