'Panas telinga' berulang kali ditanya kes anak saudara hilang, pegawai polis tampar pengadu


  • Benua
  • Isnin, 19 Sep 2022

Tangkap layar anggota polis itu menampar lelaki berkenaan. 

SEORANG inspektor polis di Balai Polis Binauli di Baghpat di Uttar Pradesh, India dipindahkan ke jabatan lain dan siasatan turut dimulakan terhadapnya selepas dia didakwa menampar seorang lelaki pada Sabtu.

Tindakannya itu sempat dirakam dan tular di laman media sosial.

Dalam video tular tersebut, Inspektor Birja Ram dilihat menampar seorang lelaki di Balai Polis Binauli.

Dilaporkan mangsa dan keluarganya sebelum itu telah menghubungi ketua balai polis berkenaan untuk mengadu mengenai anak saudara mereka yang telah hilang selama empat hari.

Rakaman anggota polis itu menampar lelaki berkenaan.

"Kami tahu perkara itu selepas video tular di media sosial. Siasatan awal mendapati Inspektor Birja Ram berkelakuan tidak beretika dengan keluarga mangsa pada 17 September.

“Inspektor Birja Ram telah dipindahkan ke Talian Polis dari Balai Polis Binauli dan siasatan jabatan telah dimulakan terhadapnya," kata Superitendan, Neeraj Kumar Jadaun.

Mangsa yang dikenali sebagai Omveer memberitahu media tujuannya ke balai polis itu untuk bertanya tentang perkembangan kes berkenaan.

"Anak saudara kami telah hilang selama empat hari. Kami telah pergi ke sana untuk bertanya tentang perkembangan kes itu.

“Semasa berulang kali bertanya kepada inspektor polis tentang anak saudara kami, pegawai polis menampar saya di hadapan orang ramai,” jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram