Individu 'block' jalan, bagi van mayat lalu di Klang bukan gengster, tegas polis


  • 112
  • Isnin, 19 Sep 2022

Tangkap layar video yang memaparkan beberapa individu menghalang lalu lintas untuk memberi laluan kepada van mayat di Meru, Klang pada Ahad. — Facebook

VIDEO tular yang memaparkan beberapa individu menghalang lalu lintas bagi mengiringi perarakan van mayat di Persimpangan Pekan Meru, Klang, Selangor pada Ahad disahkan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan gengster.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menafikan penglibatan kumpulan gengster dalam perarakan tersebut seperti yang dimuat naik menerusi halaman Facebook.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Klang Utara telah membuat siasatan awal dengan mengesan dan akan memanggil penganjur untuk memberikan keterangan serta mengenal pasti suspek-suspek yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 48(1) Kanun Prosuder Jenayah 1987 dan menasihatkan orang ramai agar mematuhi peraturan jalan raya dan tidak menghalang lalu lintas.

"Tindakan menghalang lalu lintas sekali gus boleh membahayakan nyawa sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Pada Ahad, tular video memaparkan sekumpulan individu bertindak menghalang lalu lintas dipercayai di kawasan Meru, Klang.

Tindakan itu dilakukan bagi mengiringi sebuah van mayat yang melalui kawasan persimpangan terbabit.

Menerusi video tular itu, sekumpulan individu terbabit yang menunggang motosikal turut dilihat tidak memakai topi keledar ketika kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram