Tragedi dijangka berulang, mangsa banjir akui masih trauma tiap kali hujan terpaksa buat persiapan awal


  • Massa
  • Ahad, 18 Sep 2022

Kesan banjir yang berlaku di Dengkil, Selangor pada hujung 2021.

TAHUN lalu menyaksikan negara berdepan episod duka apabila banjir besar melanda hingga disifatkan sebagai terburuk pernah dialami.

Ketika negara masih lagi melawan pandemik Covid-19, rakyat terpaksa pula berdepan dengan tragedi hitam itu.

Peoples waiting at roftop of their house as tehy waiting to be rescue at Section 23  Shah Alam.(AZHAR MAHFOF/The Star)19/12/2021

Banjir tahun lalu disifatkan sebagai yang terburuk pernah melanda negara.

Tahun ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sekali lagi memberi amaran awal berkaitan hujan lebat berterusan yang dijangka melanda akhir tahun ini.

Hujan lebat itu juga diramalkan akan membawa kepada fenomena banjir sekali gus membawa kerisauan kepada rakyat.

Majoriti berhubung dengan seorang mangsa banjir di Klang, Selangor, Sarina Md. Nor yang berdepan dengan situasi cemas itu pada 17 Disember tahun lalu.

WhatsApp Image 2022-09-18 at 1.23.33 PM (1)

Sarina akui masih trauma dengan banjir yang melanda kediamannya.

Menurut Sarina, dia sama sekali tidak menjangka kawasan perumahannya akan banjir sejak mereka menghuni kawasan itu pada 2008.

"Memang sejak saya duduk, tak pernah banjir. Jadi pada masa itu tiada sebarang persiapan pun dibuat sebab tiada pengalaman.

"Jadi bila dah dilanda banjir, memang kami cemas. Jumlah kerugian yang kami terpaksa tanggung lebih kurang RM15,000.

"Itu pun kami sempat mengangkut barangan ke tingkat atas rumah, jika tidak, memang bertambahlah kos kerugian yang terpaksa ditanggung," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-09-18 at 12.50.24 PM

Kesan lumpur akibat banjir di rumah Sarina.

Dalam pada itu, ditanya mengenai rasa traumanya tatkala hujan lebat, Sarina akui masih terkesan dengan pengalaman ngeri itu.

Jelasnya, setiap kali hujan memang ada perasaan takut jika peristiwa hitam itu kembali.

Cuma kata Sarina, untuk berdepan musim tengkujuh yang diramal pada penghujung tahun ini, dia sudah mengambil langkah awal untuk mengelak kerugian sama.

"Contoh kalau perabot, saya memang dah pilih kerusi atau meja yang diperbuat daripada jati sebab kalau banjir, kesannya tidaklah sampai rosak.

"Selain itu, saya juga sudah menyimpan segala dokumen penting di dalam tong plastik termasuk menyediakan rak khas untuk menyimpan barangan lain yang sesuai," katanya.

WhatsApp Image 2022-09-18 at 12.52.12 PM

Shaik Raimei mengalami kerugian lebih RM50,000 ekoran banjir pada tahun lalu.

Seorang lagi mangsa banjir, Shaik Raimei berkata, dia berdepan situasi banjir pada 18 Disember 2021 di Kampung Semarang, Dengkil, Selangor.

Menurutnya, situasi banjir yang tidak pernah dijangka berlaku itu mengakibatkan kerugian ditanggung lebih RM50,000.

"Memang bila hujan lebat, kita akan rasa trauma sebab risau situasi sama berulang. Dalam masa sama, kita juga sudah melakukan persiapan awal.

"Kita sesama penduduk juga ada berbincang apa yang perlu dilakukan jika banjir berlaku lagi," katanya.

WhatsApp Image 2022-09-18 at 12.40.15 PM (1)

Kawasan perumahan Shaik Raimei yang tenggelam akibat banjir tahun lalu.

Tambahnya, antara inisiatif yang dilakukan termasuklah menyediakan penghadang banjir dan mempersiapkan barangan asas untuk kegunaan ketika banjir.

Selain itu, jika banjir lebat berlaku katanya, ada penduduk yang akan bersiap sedia di kawasan sungai untuk memberi amaran awal kepada semua jika air sudah naik tinggi apatah lagi kawasan perumahan terletak berdekatan sungai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram