SEORANG lelaki dipercayai anggota polis dirakam melakukan kekerasan terhadap wanita warga emas hingga video itu tular di media sosial.
Dalam rakaman tersebut, lelaki terbabit yang dilihat mengenakan jaket hitam dan seluar seragam polis memarahi wanita tersebut dalam nada keras.
Anggota polis itu kemudian turut dilihat mengasari wanita bertudung biru yang berdiri ketakutan di hadapannya dengan melepaskan tumbukan beberapa kali.
Salah seorang lelaki cuba menghalang tindakannya namun dihalang oleh individu lain supaya tidak campur tangan.
Rakaman video tular itu dikongsi semula menerusi akaun Instagram dengan nama pengguna @bogordailynews.
Rakaman tular menunjukkan seorang anggota polis mengasari wanita separuh umur dalam kejadian pada Khamis lepas. — Facebook
Kejadian disyaki berlaku di Desa Waetuoe, Kecamatan Lanrisang, Kabupaten Pinrang, Indonesia baru-baru ini.
Ketua Desa Waetuoe, Muliadi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu kekecohan berlaku pada Khamis lepas (15 September 2022).
Memetik laporan Detik.com, Muliadi memaklumkan, kejadian dipercayai berlaku selepas wanita terbabit dikatakan menjual hasil tangkapan ikan dari kolam milik ibu bapa anggota polis berkenaan, namun tidak melaporkan semua hasil jualan.
“Anggota polis yang dikenali sebagai Aipda berasa tak puas hati dan terkilan kerana diberitahu hanya beberapa ekor ikan yang dijual, tetapi hasil jualan sebenar lebih banyak.
"Lagipun, wanita itu adalah orang yang dipercayai Aipda," katanya.
Aipda kemudian berjumpa wanita tersebut dan segera menyoal siasat berhubung penyelewengan penjualan ikan itu sebelum wanita tua itu akhirnya mengaku salah.
Setelah kejadian itu tular, Aipda ditahan polis untuk soal siasat sebelum kedua-dua belah pihak akhirnya bertemu pada Sabtu dan berdamai.
“Kedua-duanya dipanggil oleh polis untuk memberikan keterangan dan saya sendiri menyaksikan proses pendamaian itu," kata Muliadi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram