KETUA jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon melantik Safawi Rasid sebagai salah seorang daripada tiga kapten skuad Harimau Malaya.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan berkata, Safawi akan bersama-sama Syafiq Ahmad dan Dion Cools bagi menghadapi edisi ke-48 Piala Raja Thailand 2022 di Chiang Mai bermula 22 September ini.
"Syafiq dan Dion sebelum ini bersama-sama penjaga gol, Farizal Marlias dan Safiq Rahim merupakan empat kapten Harimau Malaya ketika kempen Kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu.
"Tetapi dengan ketiadaan Farizal dan Safiq bagi kem latihan pusat kali ini, Safawi dinamakan sebagai pengganti untuk membentuk gandingan tiga kapten Harimau Malaya untuk ke Chiang Mai," kata FAM di Facebook, pada Ahad.
Skuad Harimau Malaya bakal berdepan Thailand pada aksi pertama bagi edisi ke-48 Piala Raja Thailand (48th King's Cup) 2022 di Stadium Chiang Mai, Thailand pada 22 September ini.
Satu lagi perlawanan menyaksikan skuad Trinidad & Tobago berdepan Tajikistan di venue dan tarikh yang sama.
Jika berjaya menewaskan Thailand, skuad negara kendalian Kim Pan-gon bakal mara ke pentas final dan sekiranya tewas, skuad negara bakal beraksi bagi penentuan tempat ketiga dan keempat.
Kejohanan yang mula diadakan pada 1968 itu menyaksikan Thailand muncul selaku pemenang terbanyak piala berkenaan apabila merangkul kejuaraan sebanyak 15 kali.
Skuad negara pula muncul juara sebanyak empat kali iaitu pada 1972 apabila menewaskan tuan rumah, Thailand, 1-0.
Pada edisi 1976 skuad negara berkongsi kejuaraan dengan Thailand setelah terikat 1-1 skuad negara terikat 1-1 pada aksi final sebelum sekali lagi berkongsi kejuaraan dengan Korea Selatan pada edisi 1977 setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Skuad negara akhirnya kembali muncul juara apabila menewaskan Singapura 1-0 pada edisi 1978 dan sekali gus menjadi kali terakhir memenangi piala berkenaan.
Untuk rekod, edisi 2019 lalu, skuad Curacao muncul juara dengan menewaskan Vietnam 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga tamat masa tambahan manakala India muncul pemenang tempat ketiga apabila menewaskan Thailand 1-0. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram