BUDAK lelaki lapan tahun dan adik perempuannya berusia enam tahun yang didakwa didera secara fizikal oleh sepasang suami isteri dikatakan tidak dibenarkan bermain dengan kanak-kanak lain yang tinggal di kondominium itu.
Salah seorang jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata, dia tidak pernah melihat budak itu kecuali pada hari mangsa cuba melarikan diri melalui tingkap sebuah unit kondominium yang terletak di tingkat empat.
“Sebelum ini, saya terdengar suara kanak-kanak menjerit dari tingkat atas tetapi tidak pasti dari unit mana suara itu datang.
“Saya maklumkan kepada penduduk lain tetapi mereka juga tidak dapat mengesan dari mana datangnya laungan suara itu,” katanya ketika ditemui di kondominium di Taman Cahaya, Ampang, pada Sabtu.
Lee berkata, dia mengesyaki jeritan itu datang dari unit berkenaan selepas penduduk lain mendakwa melihat kanak-kanak malang itu diikat di balkoni kondominium kira-kira dua minggu lalu.
“Kebanyakan penduduk tidak begitu mengenali ibu dan bapa saudara mangsa kerana mereka tidak bergaul dengan penduduk lain.
"Bagaimanapun, selepas insiden (di balkoni) itu, ketua penduduk ada berjumpa kedua-dua individu berkenaan dan menasihatkan mereka supaya tidak menganiaya kanak-kanak di bawah jagaan," kata Lee.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ibu dan bapa saudara mangsa ditahan reman selama tujuh hari sejak Sabtu.
“Siasatan awal mendapati budak lelaki itu dan adiknya disyaki didera suspek dan dikurung dalam bilik sejak beberapa bulan lalu.
“Kami masih menyiasat perkara ini dan merekodkan keterangan jiran serta penduduk lain di kondominium itu,” katanya.
Beliau memberitahu, kedua-dua kanak-kanak itu berada dalam keadaan kelaparan apabila mereka dibawa ke ibu pejabat polis Ampang Jaya sebaik diselamatkan.
Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang berada seorang diri di dalam rumah cuba terjun dan melarikan diri dari tingkap sebuah kondominium tingkat empat.
Susulan itu, bomba berjaya menyelamatkan mangsa dengan memecah masuk ke dalam rumah dengan bantuan pihak polis.
Polis kemudian menahan kedua-dua suspek, yang masing-masing berusia 29 dan 33 tahun kira-kira pukul 6 pada Jumaat.
Katanya, suspek wanita berkenaan merupakan adik kepada ibu kandung mangsa dan telah menjaga dua adik-beradik itu sejak dua tahun lalu, selepas bapa kandung mereka meninggal dunia.
Ibu kandung kanak-kanak berkenaan tidak mahu menjaga mereka dan menyerahkannya kepada suspek untuk penjagaan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram