Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Wan Mohd Zahid meninggal dunia


  • Primer
  • Jumaat, 16 Sep 2022

YSD dalam satu kenyataan memaklumkan, komitmen Wan Mohd Zahid terhadap yayasan itu selama ini mengagumkan dan amat dihargai.

BEKAS Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin meninggal dunia di kediamannya di Kampung Tunku, Petaling Jaya pada Jumaat.

Allahyarham yang berusia 82 tahun dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10 pagi.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Wan Mohd Zahid dan mengakui sedih apabila mendengar berita tersebut.

“Beliau telah memberikan jasa besar kepada sistem pendidikan negara malah dilantik sebagai pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).

“Saya selalu terserempak dengannya di Masjid Kg Tunku, Petaling Jaya untuk solat Subuh.

“Tidak hairanlah, sudah lama saya tidak melihatnya di sana,” katanya menerusi hantaran dimuat naik di Facebooknya pada Jumaat.

Berita mengenai pemergiannya itu tular di media sosial dan pelbagai pihak turut merakamkan ucapan takziah.

Sementara itu, Yayasan Sime Darby (YSD) dalam satu kenyataan memaklumkan, komitmen Wan Mohd Zahid terhadap yayasan itu selama ini mengagumkan dan amat dihargai.

“Kami berdukacita menerima berita pemergian Wan Mohd Zahid, bekas Ahli Majlis Tadbir YSD selama lebih 10 tahun.

“Sumbangannya tidak terkira terhadap tunggak pendidikan kami. Ia adalah satu penghormatan dan keistimewaan untuk bekerja bersama beliau,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama,Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut merakamkan ucapan takziah dan merakamkan doa untuk Allahyarham. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram