PENGGUNA jalan raya di Lembah Klang akan menikmati akses percuma selama sebulan di Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) fasa satu yang akan beroperasi bermula Jumaat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, lebuh raya itu akan melibatkan jajaran sejauh 16.6 kilometer (KM) bermula dari persimpangan Cheras-Kajang ke Persimpangan Bukit Antarabangsa.
"Lebuh raya itu dijangka meredakan kesesakan lalu lintas sebanyak 36 peratus di sepanjang Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Ampang dan Plaza Tol Ampang pada waktu puncak.
"Perjalanan menggunakan lebuh raya ini juga akan mengurangkan masa perjalanan dari 75 minit kepada 20 minit," katanya.
Jelasnya, kerajaan komited untuk menangani isu kesesakan yang dihadapi rakyat di ibu negara menerusi jarak perjalanan yang lebih pendek dan mengurangkan pelepasan karbon.
Ujarnya, pembukaan SUKE juga akan memberi impak terhadap usaha untuk mengurangkan kesesakan jalan dan meningkatkan aliran trafik terutamanya di Timur Kuala Lumpur.
Fadillah berkata, SUKE juga mencatatkan dua rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi dua tanjakan helicoidal dan jambatan (segmented box girder) setinggi 56.4 meter.
Segmented box girder itu terletak di atas laluan MRT Sungai Buloh-Kajang dan Lebuhraya Cheras-Kajang.
Sementara itu, Pengerusi Prolintas, Datuk Idris Kechot berkata, pembinaan SUKE mewujudkan impak yang besar kepada ekonomi.
"Kami telah menyediakan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.
"248 kontraktor tempatan dan 10 perunding utama telah terlibat dalam pembinaan lebuh raya itu," katanya sambil menambah kira-kira 10,000 peluang pekerjaan turut diwujudkan.
Sehingga 30 Ogos, projek SUKE sudah 98 peratus siap.
Baki jajaran 7.8km yang masih dalam pembinaan melibatkan Plaza Tol Alam Damai dan tiga lagi persimpangan dijangka siap pada suku pertama 2023. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram