SEORANG remaja berdepan detik cemas apabila menjadi mangsa rompakan ketika sedang asyik bermain telefon pintar yang diterima sempena hadiah ulang tahun kelahiran pada Jumaat lalu.
Menerusi rakaman kamera liter tertutup (CCTV), mangsa berjalan sendirian di sebuah kawasan perumahan di Barangay Masagana, Bandar Quezon, Filipina tanpa disedari diekori suspek.
Tanpa membuang masa, suspek segera mendekati mangsa dan mengeluarkan pisau sebelum mengacukan senjata tajam itu kepada mangsa.
Rakaman CCTV menunjukkan lelaki bersenjata merompak seorang remaja 17 tahun.
Dalam rakaman tersebut dapat dilihat remaja berusia 17 tahun itu berusaha untuk mengambil semula telefon pintar yang dirampas, namun melepaskannya selepas diugut dengan pisau.
Telefon yang dicuri itu dianggarkan bernilai 17,000 peso (RM1,342) dan dihadiahkan oleh kedua orang tuanya.
Mangsa kemudian membuat laporan polis dan kes tersebut kini sedang dalam siasatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram