PAS tunggu MT Umno putuskan hal Muafakat Nasional


  • Primer
  • Khamis, 15 Sep 2022

PAS dan Umno menjalinkan kerjasama di bawah MN.

PAS akan menunggu mesyuarat Majlis Tertinggi Umno berkenaan nasib Muafakat Nasional (MN) sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan kerjasama antara kedua-dua parti.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mereka tidak tergesa-gesa berkenaan hal itu memandangkan pembubaran Dewan Rakyat masih lama lagi.

"Ia (pembubaran) belum diputuskan lagi sama ada tahun ini atau tahun depan," katanya.

Takiyuddin berkata, perbincangan antara parti boleh berlaku di semua peringkat kerana ia tidak bergantung kepada tarikh pembubaran.

Beliau juga mengesahkan bahawa pada masa ini terdapat perbincangan antara parti di peringkat negeri dan akar umbi.

Ditanya sama ada kepimpinan PAS akan memujuk Umno untuk menghidupkan semula MN, Takiyuddin berkata tidak, tetapi mengulangi pendirian parti bahawa mereka sanggup berbincang dengan mana-mana parti termasuk pembangkang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno berkata, sebarang keputusan untuk menamatkan perbincangan dengan PAS akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi Umno.

Katanya, sudah menjadi amalan Umno untuk mendengar pandangan semua ahli parti berhubung perkara itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram