Pinjaman 100 peratus PTPTN, komputer riba buat pelajar M40 — PM


  • Primer
  • Khamis, 15 Sep 2022

Ismail Sabri ketika menghadiri Majlis Perasmian Semarak Patriotik IPT 2022 di UPNM pada Khamis. — Bernama

PINJAMAN Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan M40 (M1) dinaikkan daripada 75 peratus kepada 100 peratus.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi 2022 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Kuala Lumpur pada Khamis.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN golongan M40, sebagai antara usaha kerajaan menjaga kepentingan mahasiswa Keluarga Malaysia.

"Percayalah, kerajaan sentiasa menjaga kepentingan mahasiswa dan mahasiswi...banyak lagi yang akan kita umumkan demi kepentingan mahasiswa dan mahasiswi sekalian,” katanya

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang.

Pasa masa sama, Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan oleh Noraini bahawa Jualan Murah Keluarga Malaysia akan diadakan di setiap institut pengajian tinggi (IPT) mulai Oktober bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup dalam kalangan mahasiswa. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram