JABATAN Meteorologi Malaysia (MET) meramalkan taburan hujan lebat kemungkinan berlaku pada penghujung tahun ini sehingga awal 2023.
Perkara itu tentu sahaja membuatkan individu yang sering menjadi mangsa banjir seperti di kawasan negeri Pantai Timur mula berasa bimbang sekiranya kejadian tersebut berlaku.
Risiko kerosakan harta benda dan kehilangan insan tersayang antara yang dikhuatiri akan terjadi. Mengambil contoh peristiwa banjir yang berlaku pada Disember tahun lalu meragut lebih 60 nyawa.
Menurut kajian Jabatan Perangkaan, bencana itu disifatkan antara terburuk dalam sejarah negara sekali gus merekodkan kerugian keseluruhan sebanyak RM6.1 bilion.
Antara kerosakan seperti aset awam, kediaman, infrastruktur, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan dan sektor pertanian.
Tidak mahu sejarah hitam berulang semula, kerajaan mula menyusun beberapa langkah strategi bagi memastikan bencana banjir dapat diatasi dengan lebih sistematik.
Komuniti setempat perlu melakukan persediaan awal seperti menyimpan dokumen penting di tempat yang selamat, menyediakan bekalan makanan dan peka terhadap maklumat semasa berkaitan banjir.
Oleh itu Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama MET, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) saling berkongsi rangka perancangan sebagai langkah persiapan yang akan diambil bagi berdepan bencana banjir.
Berikut antara perkara yang masyarakat perlu tahu sebagai persediaan banjir:
1. Monsun Timur Laut
Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pada November 2022 sehingga Mac 2023. Status Southern Oscillation (ENSO) La Nina dan Dwikutub Lautan Hindi (IOD) negatif dijangka berterusan sehingga Disember 2022. Hujan berterusan juga boleh berlaku di negeri-negeri pantai barat. La Nina dan keadaan neutral dipanggil ENSO iaitu singkatan kepada El Nino Southern Oscillation.
2. Hujan lebat
Menurut data MET, episod hujan lebat sebelum ini bermula pada November 2021 hingga Februari 2022. Terdapat enam fasa iaitu pertama mencatat jumlah purata taburan hujan sebanyak 386 milimeter (mm) di negeri Kelantan dan Terengganu pada 10 November 2021. Kemudian purata taburan hujan sebanyak 192.7 mm dicatatkan di dua negeri sama selama tiga hari iaitu pada 2 hingga 4 Disember 2021.
Seterusnya taburan hujan 339.4 mm di hampir seluruh semenanjung selama lapan hari bermula 12 hingga 19 Disember 2021. Pada 27 Disember 2022 hingga 4 Januari 2022 mencatat jumlah taburan hujan 216.8 mm selama sembilan hari. Taburan hujan 221 mm di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah berlangsung selama sembilan hari bermula 5 hingga 13 Januari 2022.
Episod monsun terakhir iaitu keenam berlangsung selama empat hari dengan catatan purata taburan hujan 264 mm di seluruh semenanjung pada 24 hingga 27 Februari 2022.
3. Impak bencana banjir monsun
Berdasarkan maklumat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), kejadian pada 3 November 2021 hingga 13 Mac 2022 menyaksikan 2.52 peratus populasi terjejas melibatkan 822,154 mangsa, 237,648 keluarga, 1,467 Pusat Penempatan Sementara (PPS), 12 negeri, 61 kematian, RM887.9 juta dana Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) dan RM35.1 dana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM). Kejadian itu sekali gus menjadi bencana banjir yang terburuk dalam sejarah.
Sementara itu, kejadian banjir pada 27 Oktober 2018 hingga 18 Mac 2019 melibatkan 11,036 mangsa banjir, 3,128 keluarga, 133 PPS, 12 negeri, RM1.6 juta dana KWABBN dan RM 29.6 juta dana JKM. Popularti terjejas dicatat sebanyak 0.03 peratus dan angka itu merupakan jumlah paling sedikit bagi tahun 2014 hingga 2022.
4. Hujan lebat monsun
Secara amnya negeri-negeri yang dijangka mengalami hujan lebat monsun oleh MET pada November sehingga Disember 2022 ialah Kelantan, Terengganu dan Pahang. Manakala pada Disember 2022 hingga Januari 2023 di Johor, Sabah dan Sarawak.
5. Pusat Penempatan Sementara (PPS)
Sebanyak 6,010 PPS akan dibuka oleh JKM yang dianggarkan dapat menampung 1,630,855 mangsa banjir di seluruh negeri. Dalam angka tersebut, sebanyak 63 PPS memiliki kapasiti besar (melebihi 2,000 orang); 1,048 PPS kapasiti sederhana (500 hingga 1999 orang) manakala kapasiti kecil sebanyak 4,899 PPS (kurang 500 orang). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram