Empat termasuk 3 beradik ditahan miliki 27kg ganja bernilai RM90,000 di Tawau


  • 112
  • Khamis, 15 Sep 2022

Polis menemukan 29 bungkusan berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja.

POLIS menahan empat bersaudara termasuk tiga adik-beradik dan merampas dadah jenis ganja seberat lebih 27.31 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM90,000 dalam serbuan di sebuah premis di Kilometer 16, Jalan Apas, Tawau, Sabah pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tiga beradik iaitu dua wanita dan seorang lelaki serta seorang saudara lelaki mereka itu, yang kesemuanya berusia antara 20 dan 43 tahun ditahan dalam serbuan di premis tersebut pada pukul 5 petang.

Katanya, serbuan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu, adalah hasil maklumat orang awam.

"Ketika serbuan didapati dua lelaki sedang mengangkat tiga kotak dari sebuah kereta ke premis tersebut. Hasil pemeriksaan menemukan 29 bungkusan yang masing-masing berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja.

"Dua wanita berada dalam kenderaan itu turut ditahan. Dadah yang dirampas itu disyaki untuk dipasarkan di sekitar Tawau yang mampu dibekalkan kepada 20,000 pembeli," katanya.

Jasmin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram