Dua lelaki ditahan merompak, menyamar sebagai polis di Semporna


  • 112
  • Jumaat, 26 Ogos 2022

Kenderaan yang digunakan oleh suspek semasa rompakan.

POLIS menahan dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dan terlibat dalam kegiatan rompak di daerah Semporna, Sabah.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superitenden Mohd Farhan Lee berkata, kedua-dua lelaki tempatan berumur 48 tahun pergi ke kuarters rumah mangsa di Mg Menteritip Pegagau, pukul 5.11 petang pada 21 Ogos lalu.

"Suspek memberitahu mangsa mereka adalah polis dan menunjukkan sepasang gari kepada mangsa.

“Suspek turut mengarahkan mangsa keluar dari rumah dan bertindak menggeledah rumah mangsa lalu mengambil semua barang berharga termasuk wang tunai RM2,500 dan lima telefon bimbit.

"Namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat report polis," katanya.

Menurut beliau lagi, hasil siasatan dan maklumat yang telah diberikan, polis telah menahan kedua-dua suspek masing-masing ditahan di rumah mereka di Batu 2, Jalan Semporna-Tawau pada pukul 12.30 tengah hari pada hari Rabu lalu.

“Sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan semasa rompakan itu dirampas bersama sepasang gari, motosikal dan tiga telefon bimbit,” katanya.

Hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati positif dadah.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Beliau menggesa masyarakat tempatan untuk terus menjadi mata dan telinga polis dan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa mencegah jenayah di daerah ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram