Isu ATM UTC Sentul tak mesra OKU akan selesai dalam masa sebulan


  • Primer
  • Isnin, 12 Sep 2022

UTC Sentul akan menaik taraf ruang ATM untuk lebih mesra OKU dalam masa sebulan.

ISU kemudahan orang kelainan upaya (OKU) untuk menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul, Kuala Lumpur akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Pengurus Bangunan UTC Sentul, Ayob Abdul Manan berkata, tindakan itu akan diambil walaupun pihaknya sebelum ini tidak menerima aduan berkenaan masalah tersebut.

"Memang tiada aduan diterima sebelum ini. Tetapi saya sudah berbincang dengan Jabatan Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan Bangunan (JPPPB) mengenai perkara tersebut.

"Menerusi perbincangan itu, proses tambah baik ruang ATM melibatkan ramp OKU insha-ALLAH boleh diselesaikan dalam masa sebulan dan saya akan mohon JPPPB percepatkan.

"Cuma kalau untuk meluaskan pintu itu, mungkin perlu masa sedikit sebab banyak perkara perlu dilakukan. Tetapi surat permohonan sudah saya hantar bersama," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu, Majoriti sebelum ini melaporkan isu yang dihadapi seorang lelaki OKU berkerusi roda yang mengalami kesukaran untuk menggunakan mesin ATM itu.

Menerusi video yang dimuat naik bersama laporan tersebut, lelaki itu terpaksa dibantu orang lain untuk masuk dan keluar daripada ruang yang menempatkan mesin ATM.

1728822 (1)

Tangkap layar video yang tular berkenaan kepayahan seorang warga OKU yang mahu menggunakan mesin ATM di UTC Sentul.

Bukan sahaja pintunya kecil dan hanya mampu memuatkan sebuah kerusi roda, terdapat juga bendul yang agak tinggi.

Ketiadaan ramp untuk OKU sangat menyukarkan mereka untuk masuk dan berkemungkinan boleh cedera jika tidak dibantu orang lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram