Dua lagi remaja lapor polis kes amang seksual libat penceramah bebas


  • 112
  • Ahad, 11 Sep 2022

Dua laporan polis terhadap selebriti terbabit dibuat oleh dua remaja yang masing-masing berusia 17 tahun. - Gambar hiasan

DUA lagi remaja tampil membuat laporan polis berhubung kes amang seksual terhadap remaja bawah umur yang membabitkan selebriti yang juga penceramah bebas.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid, dua laporan terbabit dibuat oleh dua remaja yang masing-masing berusia 17 tahun, di Seremban, Negeri Sembilan pada bulan ini.

"Siasatan selari dijalankan bersama Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor (mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017).

"Polis sedang melengkapkan siasatan dan perkembangannya akan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dikemukakan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan mendatangkan fitnah kepada mana-mana pihak serta menyebabkan kegusaran kepada masyarakat.

"Perbuatan seumpama itu salah di bawah undang-undang negara dan boleh diambil tindakan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang selebriti lelaki berusia 40-an ditahan polis di sekitar Klang, Selangor pada Khamis untuk siasatan kes amang seksual fizikal terhadap empat remaja.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, dilapor berkata, suspek dipercayai berkenalan dengan kesemua mangsa menerusi program motivasi di sekolah sekitar Selangor.

Katanya, setakat ini, Polis Selangor telah menerima empat laporan iaitu dua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan masing-masing satu di IPD Shah Alam dan IPD Kajang. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram