Angka terkini IP kongsi kandungan lucah kanak-kanak membimbangkan — Rina


  • Primer
  • Ahad, 04 Sep 2022

Rina berkata, sejak Januari hingga Jun lepas, PDRM menerima 47 kes rogol berkumpulan, 95 kes (seks luar tabii), 127 kes (sumbang mahram), 438 kes (cabul) dan 641 kes melibatkan jenayah rogol.

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius dapatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menerima 106,764 alamat protokol Internet (IP) berdaftar di negara ini, yang disyaki berkongsi kandungan lucah golongan kanak-kanak di Internet, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Rina berkata, jumlah tersebut direkodkan sejak 2017 hingga Ogos lepas.

"Angka amat membimbangkan dan kempen ini kami jalankan untuk beri kefahaman juga kepada kanak-kanak.

"KPWKM melihat trend ini sebagai perkembangan tidak sihat terutamanya melibatkan golongan vulnerable memandangkan pendedahan kepada bahan pornografi kanak-kanak mendorong kepada ketagihan seks yang akhirnya boleh membawa kepada perlakuan seksual yang lain,” katanya.

Rina berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak di Putrajaya, pada Ahad.

Bagi mengekang perkara itu, beliau berkata, KPWKM melaksanakan kempen itu sebagai satu daripada inisiatif dalam membantu dan membimbing kanak-kanak, ibu bapa serta komuniti untuk berhadapan dengan cabaran jenayah siber pada masa kini.

Katanya, terdapat lima objektif utama pelaksanaan kempen itu antaranya meningkatkan kefahaman kanak-kanak terhadap penggunaan media sosial secara bijak dan selamat, memberi pendedahan tentang bahaya media sosial yang tidak dikawal serta memberi kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak.

Berkongsi statistik kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak, Rina berkata, sejak Januari hingga Jun lepas, PDRM menerima 47 kes rogol berkumpulan, 95 kes (seks luar tabii), 127 kes (sumbang mahram), 438 kes (cabul) dan 641 kes melibatkan jenayah rogol.

Beliau berkata, KPWKM melaksanakan pelbagai usaha antaranya menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Bersepadu Pengurusan Isu-isu Sosial Kanak-Kanak di media sosial pada 15 Jun 2021, memperkasakan perkhidmatan kaunseling di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah serta memperkasakan peranan komuniti dengan melantik 299 Pembantu Pelindung di Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Katanya, KPWKM juga akan menganjurkan Persidangan Kanak-Kanak kali pertama selama dua hari mulai esok, yang akan dihadiri Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) dari seluruh negara bagi mewakil suara kanak-kanak di negara ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram