Warga emas dibaham buaya semasa seberang sungai guna rakit di Sandakan


  • 112
  • Sabtu, 10 Sep 2022

Warga emas dibaham buaya ketika menyeberang sebuah sungai di Sandakan, Sabah pada Jumaat. — Gambar hiasan

SEORANG warga emas berusia 50-an dipercayai dibaham buaya ketika menyeberang sungai berhampiran Taman Kenari Batu 7, di Sandakan, Sabah pada Jumaat.

Mangsa yang belum diketahui identitinya dikatakan disambar reptilia berkenaan ketika menyeberang sungai dengan menggunakan rakit.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.57 malam Jumaat.

Katanya, seramai tujuh anggota bomba ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 10 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan.

"Menurut maklumat itu, terdapat seorang lelaki dilaporkan dibaham buaya di kawasan sungai.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di sepanjang sungai di kawasan mangsa dilaporkan dibaham buaya namun tidak berhasil," kata kenyataan itu.

Katanya lagi, operasi disambung semula pada pukul 6 pagi Sabtu dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram