SEORANG wanita maut selepas kereta dipercayai jenis Audi RS3 dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan sawit di Jalan Selendang, Felda Selendang di Rompin, Pahang pada Sabtu.
Dalam kemalangan yang dilaporkan pukul 9.43 pagi itu, seorang lagi mangsa (lelaki) dilaporkan cedera.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, susulan maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Rompin ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
Menurutnya, ketika anggota tiba di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori sawit dan sebuah kereta.
"Terdapat mangsa lelaki cedera manakala seorang wanita yang tersepit dalam kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Zulfadli berkata, anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat.
"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Rompin untuk menerima rawatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram