Remaja 13 tahun maut terperosok bawah lori di Klang, polis ambil keterangan pemandu


  • Tular
  • Khamis, 08 Sep 2022

Budak lelaki kelihatan itu longlai selepas terperosok di bawah lori.

SEORANG remaja lelaki maut selepas basikal yang ditunggangnya digilis sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Persiaran Hamzah Alang, Meru, Klang, Selangor pada Rabu.

Dalam kejadian itu, budak berusia 13 tahun tersebut digilis selepas sebuah lori gagal mengelaknya ketika mangsa yang menaiki basikal sedang membelok ke jalan raya di Klang, Selangor.

Menerusi video berdurasi 22 saat, kelihatan keadaan remaja lelaki itu longlai selepas terperosok di bawah lori.

Ketika kejadian, selepas kemalangan itu berlaku pemandu lori berkenaan memberhentikan kenderaan tersebut di tengah jalan untuk melihat keadaan mangsa.

Di ruangan komen, rata-rata orang ramai memberikan pelbagai reaksi tentang kejadian yang berlaku dan ada juga menasihati ibu bapa supaya sentiasa pantau pergerakan anak-anak.

"Macam manalah perasaan mak dengan ayah dia balik-balik kerja dapat tahu anak dah tak ada," kata Muhd Ismail.

"Tolonglah ibu bapa pantau pergerakan anak-anak dan sentiasa ingatkan diorang kalau tengah bermain dengan kawan-kawan tapi apa-apa pun takziah saya ucapkan," jelas Naim Zafran.

"Allahuakbar, semoga hati dan perasaan kedua ibu bapa mangsa kuat mendengar khabar berita itu," ujar Zafri Yahya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kejadian itu berlaku pukul 3.30 petang pada Rabu di Persiaran Hamzah Alang, Klang, Selangor.

“Siasatan mendapati mangsa yang mengayuh basikal sedang membelok ke Jalan Persiaran Hamzah Alang dan lori di belakangnya gagal mengelak lalu merempuhnya. Mangsa berusia 13 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian Covid-19 disahkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan keterangan pemandu lori sudah direkodkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram