PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kenaikan Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar dalam dan luar negara tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang berkuat kuasa serta-merta pada Sabtu.
Beliau berkata, kadar baharu ESH bagi pelajar dalam negara dinaikkan minimum RM650 sehingga maksimum RM950 sebulan bagi bidang pengajian bermula daripada peringkat Diploma sehingga Doktor Falsafah dan profesional.
Bagi pelajar luar negara pula, ESH dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sebulan sehingga maksimum RM7,600 sebulan bermula daripada peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda sehingga peringkat Doktor Falsafah dan peringkat profesional.
"ESH pelajar sedia ada dan baharu yang mengikuti pengajian dalam negara diselaraskan bersesuaian dengan peningkatan kos dan inflasi serta keperluan pelajar.
"Kenaikan ESH kepada pelajar tajaan Mara ini bakal melibatkan seramai 62,998 orang,” katanya ketika berucap pada program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia yang dihadiri hampir 3,000 pelajar tajaan Mara secara fizikal dan ribuan lagi pelajar yang mengikutinya secara dalam talian.
Ismail Sabri berkata, ketika ini terdapat seramai 4,149 pelajar tajaan Mara yang sedang mengikuti pengajian di luar negara, dan daripada jumlah itu, seramai 1,049 pelajar sedang mengikuti pengajian di 24 universiti dalam senarai 50 universiti terbaik dunia.
Seramai 58,849 pelajar tajaan Mara pula sedang mengikuti pengajian dalam negara di universiti awam atau institusi pendidikan swasta terpilih daripada kedudukan atau ranking 4 hingga 6 Star SETARA iaitu Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi yang diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
Beliau berkata, kadar elaun sedia ada telah diguna pakai sejak lebih 13 tahun dan terdapat keperluan untuk disemak semula berikutan peningkatan kos sara hidup dalam negara sejak 10 tahun lalu, pandemik dan isu lain yang melanda dunia. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram