Najib keluarkan cek RM8.4 juta untuk 4 pihak termasuk Umno, BN


Najib (tengah) ketika di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu. — Bernama

PENGURUS Kanan Bahagian Pusat Pemprosesan Cek AmBank (M) Berhad memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu bahawa, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengeluarkan 38 cek berjumlah RM8.4 juta kepada individu, BN dan Umno bahagian dan syarikat.

Saksi pendakwaan ke-36, Badrul Hisam Mohamad berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya, dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri.

Saksi berusia 48 tahun itu berkata, antara penerima cek terbabit ialah bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam; bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Lim Soon Peng.

Najib, 69, turut mengeluarkan cek kepada Umno Bahagian Pekan berjumlah RM200,000, Wanita Umno Bahagian Pekan (RM170,000), Wanita Umno Selangor (RM1.9 juta), Umno Selangor (RM2 juta), BN Bahagian Bandar Tun Razak (RM200,000) dan Umno Bahagian Machang (RM400,000).

Badrul telah mengesahkan bahawa, transaksi cek-cek itu telah direkodkan dalam penyata Najib.

"Saya dapat mengecam tandatangan milik Datuk Seri Najib kerana semasa proses pengesahan cek dibuat, tandatangan beliau tertera di dalam ‘Signature Database System’ (SDS).

"Saya juga mengesahkan cek ini dikeluarkan oleh AmBank Islamic berdasarkan kod khas yang terdapat pada cek tersebut, iaitu kod 49 yang mana ia diberikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung dengan pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram