Banjir Baling: 130 mangsa dipindah ke PPS


  • 112
  • Rabu, 07 Sep 2022

Persediaan PPS sudah dilakukan awal untuk menempatkan mangsa banjir Baling, Kedah.

SERAMAI 130 orang daripada 37 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) selepas dua mukim di daerah Baling, Kedah yang dilanda banjir kilat pada Selasa.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Lt Pertahanan Awam (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, 96 orang daripada 31 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang manakala 34 orang daripada enam keluarga di PPS Dewan Masjid Al Huda, Kampung Hangus.

"Setakat pukul 8 pagi pada Rabu, mereka yang berlindung di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang terdiri daripada empat bayi, 22 warga emas, 31 kanak-kanak dan 39 dewasa.

"PPS Dewan Masjid Al Huda Kampung Hangus pula menempatkan empat warga emas, 20 kanak-kanak dan 10 dewasa," katanya.

Mohd Faizol berkata, banjir kilat itu menjejaskan lima rumah di Taman Bayu Sejahtera dan 11 rumah di Kampung Sungai Batu di Mukim Baling.

"Bagi Mukim Kupang, rumah terjejas termasuk 17 di Kampung Iboi, lima di Kampung Bendang Padang dan lapan di Kampung Hangus," katanya.

Tambahnya, banjir kilat berlaku susulan hujan lebat kira-kira tiga jam bermula pukul 2 petang yang menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing sungai. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram