Pelajar tambat guru dekat pokok sebab gagal ujian Ilmu Hisab


  • Benua
  • Selasa, 06 Sep 2022

Kesemua mangsa diikat pada pokok sebelum dipukul menggunakan batang kayu. — Agensi

GARA-GARA tidak berpuas hati menerima gred peperiksaan yang teruk, berpuluh-puluh pelajar sebuah sekolah di India mengikat dua guru matematik dan seorang kerani pada sebatang pokok sebelum memukul mereka pada Isnin.

Dalam kejadian itu, pelajar Scheduled Tribe Residential School di Dumka, Jharkhand, India memperdaya dua guru dan seorang kerani sekolah itu dengan alasan untuk membincangkan gred mereka dalam peperiksaan baru-baru ini.

Pelajar-pelajar berkenaan kemudiannya mengikat ketiga-tiga mangsa pada sebatang pokok dan memukul mereka.

Gambar dan video yang tular di media sosial memaparkan tiga lelaki diikat pada sebatang pokok dan perpuluh-puluh pelajar lelaki berkeliaran di sekeliling mereka dengan membawa batang kayu tebal.

Siasatan polis mendapati mangsa diserang secara fizikal oleh pelajar yang marah. Seorang daripada mangsa memberi keterangan ketika kepalanya berbalut akibat dipukul.

Reaksi ganas para pelajar itu tercetus ekoran beberapa gred teruk yang diperoleh sebilangan mereka dalam peperiksaan matematik.

Laman berita India Times melaporkan bahawa 11 daripada 32 pelajar menerima gred DD yang bersamaan dengan gagal sehingga mencetuskan kemarahan.

Mereka meminta guru matematik, Suman Kumar dan kerani yang memuat naik gred ke laman web sekolah, Soneram Chaure untuk bertanggungjawab.

Identiti seorang lagi guru tidak didedahkan kepada media.

Pelajar yang marah dilihat enggan mendengar penjelasan kesemua mangsa dan terus mengikat mereka pada pokok sebelum membelasah menggunakan kayu.

Menurut siasatan polis yang sedang dijalankan, sebahagian besar pelajar sekolah itu terlibat dalam kejadian tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram